TM Future Skills perkasa bakat digital pelajar
GEORGE TOWN – Program TM Future Skills (TMFS) membantu memperluas pendedahan pelajar sekolah terhadap bidang STEM, kemahiran digital dan teknologi masa depan.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, usaha memperkukuh kemahiran pelajar dalam bidang berkenaan penting bagi menyediakan generasi muda menghadapi keperluan dunia digital.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) AlMashoor (SMKA (P) AlMashoor), di sini hari ini.
“Sekolah berkenaan merupakan antara 35 sekolah angkat Telekom Malaysia Berhad (TM) di seluruh negara di bawah inisiatif Sekolah Angkat Malaysia MADANI yang dilaksanakan menerusi Yayasan TM (YTM).

“TMFS merupakan program pembangunan pelajar secara menyeluruh merangkumi pendidikan STEM, kemahiran digital dan insaniah, aktiviti kokurikulum, sukan serta pembangunan sahsiah dan bakat,” katanya lagi.
Program itu kini membabitkan lebih 23,600 pelajar dan hampir 2,100 tenaga pendidik, selain berpotensi memberi manfaat kepada sehingga 60,000 pelajar termasuk menerusi sekolah satelit berhampiran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Amar Huzaimi Md Deris berkata, pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dan infrastruktur digital negara.
“Melalui TM Future Skills, kami mahu membantu membangunkan generasi yang bukan sahaja celik digital, tetapi mempunyai keyakinan dan kemahiran untuk mencipta, membina serta menyelesaikan masalah menggunakan teknologi.
“Pendedahan ini perlu bermula di sekolah bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda meneroka STEM dan teknologi,” katanya lagi.
Di SMKA (P) AlMashoor, seramai 100 pelajar telah mengikuti latihan STEM dan kemahiran digital, manakala lima guru turut menerima latihan.
Sekolah itu turut dilengkapi TMFS Digital Hub yang menyediakan 10 komputer riba berprestasi tinggi, kit STEM, dron dan pencetak 3D bagi menyokong pembelajaran seperti pengekodan, robotik, reka bentuk 3D dan pembelajaran berasaskan projek.
Dalam lawatan tersebut, Amir Hamzah turut menerima taklimat mengenai pelaksanaan TMFS sebelum meninjau TMFS Digital Hub dan menyaksikan demonstrasi pelajar menggunakan kemahiran STEM untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar.
Beliau turut berinteraksi dengan pelajar serta guru bagi mendapatkan maklum balas mengenai pengalaman mereka mengikuti program berkenaan.
Pengetua SMKA (P) AlMashoor, Rosmiza Ahmad berkata, TMFS memberi peluang kepada pelajar mengikuti pembelajaran yang lebih praktikal dan berasaskan pengalaman.
“Kami melihat pelajar menjadi lebih yakin mencuba perkara baharu, lebih aktif dalam pembelajaran dan semakin berminat terhadap sains serta teknologi.
“Pendedahan seperti ini turut membantu membina pemikiran kritis, kreativiti, komunikasi dan kerjasama dalam kalangan pelajar,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



