BERITA SEMASA

Kerajaan jawab cadangan mansuh syarat simpanan haji RM15,000 dalam Dewan Rakyat

BANGI – Kerajaan akan memberi penjelasan berhubung cadangan memansuhkan syarat simpanan minimum RM15,000 bagi bakal jemaah haji ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara itu akan dijelaskan dalam sesi berkenaan.

“Kita akan jawab (mengenai cadangan itu) dalam sesi penggulungan,” katanya selepas merasmikan Seminar Penerbitan Islam 2026 dan Pelancaran Majlis Penerbitan Buku Agama (MAPBA) di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini hari ini.

Sebelum itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa kerajaan memansuhkan syarat simpanan minimum RM15,000 yang ditetapkan kepada pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum mereka dibenarkan menunaikan ibadah haji.

Beliau berpandangan syarat itu perlu diteliti semula bagi memastikan TH terus berperanan memudahkan umat Islam menunaikan haji, bukannya menambah beban kewangan mereka.

TH menjelaskan jumlah RM15,000 ditetapkan sebagai simpanan minimum bagi menentukan kesiapsiagaan kewangan pendeposit untuk menunaikan ibadah haji.

Syarat berkenaan terpakai kepada pendeposit yang mahu mendapatkan atau mengekalkan kelayakan giliran haji tanpa pengecualian khusus berdasarkan umur, kumpulan pendapatan atau tempoh menunggu.

Ia termasuk warga emas, golongan B40 dan pendeposit yang sudah lama mendaftar haji, manakala pendeposit sedia ada diberikan tempoh peralihan sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai jumlah simpanan minimum itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button