JENAYAH & MAHKAMAH

Nahas konvoi RXZ: Lebih 30 motosikal terbabit, 20 cedera selain empat maut

KUANTAN – Polis mengesahkan lebih 30 motosikal terlibat dalam nahas tragis di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor, awal pagi tadi yang mengorbankan empat penunggang motosikal serta menyebabkan sekurang-kurangnya 20 individu cedera.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asistan Komisioner Ashari Abu Samah berkata, semua mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital.

“Seramai 20 mangsa disahkan cedera dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Hospital Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Kemalangan membabitkan lebih 30 motosikal,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, sekumpulan penunggang motosikal Yamaha RXZ yang sedang berkonvoi menuju ke Kemaman dipercayai terlibat dalam kemalangan bersama sebuah kereta sebelum berlaku pelanggaran berantai membabitkan puluhan motosikal.

Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, dari Bachok, Kelantan; Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, dari Dungun, Terengganu dan Mohd. Aizat Husni, 33, dari Besut, Terengganu.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Safawi Md Noh, 24, dari Felda Neram, Terengganu, meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTAA.

BACA JUGA:
Empat penunggang RXZ maut dalam nahas libat 13 kenderaan di LPT

Selain itu, seorang penumpang kereta berusia 13 tahun turut mengalami kecederaan pada bahagian tengkuk, manakala pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis sebelum ini memaklumkan siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai bermula apabila sebuah motosikal merempuh bahagian belakang sebuah kereta Toyota Vios sebelum beberapa motosikal lain gagal mengelak, sekali gus mencetuskan pelanggaran berantai.

Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan motosikal yang terlibat serta punca sebenar kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button