Dua aktivis GSF diculik, diseksa ketika dalam tahanan Israel
TEL AVIV: Dua aktivis antarabangsa yang menyertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza bukan sahaja ditahan, malah didakwa diseksa selepas diculik oleh tentera Israel di perairan antarabangsa, sebelum dihadapkan ke mahkamah di negara itu.
Kumpulan hak asasi ADALAH memaklumkan Saif Abu Keshek dari Sepanyol dan Thiago Avila dari Brazil kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Israel selepas insiden berkenaan.
Menurut wakil ADALAH, Miriam Azem, kedua-dua mereka dibawa ke mahkamah di Ashkelon hari ini dengan tempoh tahanan dilanjutkan selama dua hari bagi tujuan soal siasat lanjut.
Kedua-dua aktivis itu merupakan sebahagian daripada misi GSF yang dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Greece, Khamis lalu.
Penganjur sebelum ini memaklumkan seramai 168 peserta lain dihantar ke Crete, manakala dua individu terbabit dibawa ke Israel untuk disoal siasat.
Walaupun tiada pertuduhan rasmi difailkan setakat ini, kedua-duanya berdepan beberapa dakwaan termasuk kaitan dengan ‘organisasi pengganas’ dan berhubung dengan ejen asing.
Bagaimanapun, peguam ADALAH berhujah bahawa prosiding tersebut tidak sah dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, memandangkan insiden berlaku di perairan antarabangsa melibatkan warga asing.
Dalam perkembangan sama, kedua-dua aktivis itu mendakwa mengalami layanan keras sepanjang dalam tahanan.
Avila dilaporkan mengalami kecederaan selepas dipukul teruk sehingga pengsan sebanyak dua kali, selain diseret dalam keadaan tertiarap. Kesan lebam turut kelihatan pada wajahnya.
Beliau juga didakwa diasingkan serta ditutup mata selepas dipindahkan ke penjara di bawah Israel Prison Service.
Sementara itu, Abu Keshek turut mendakwa diikat tangan, ditutup mata dan dipaksa berbaring secara tertiarap sepanjang tempoh tahanan.
Kedua-dua aktivis berkenaan kini melancarkan mogok lapar sebagai tanda bantahan.
Kerajaan Sepanyol dilaporkan mengecam tindakan penahanan itu yang disifatkan sebagai ‘penculikan, selain menolak segala tuduhan terhadap rakyatnya.
Untuk rekod, flotila berkenaan sebelum ini pernah menarik perhatian dunia apabila cuba menyalurkan bantuan ke Gaza, namun beberapa misi terdahulu turut dipintas oleh tentera Israel.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








