Bukan sombong tapi tiada istilah popular dalam kamus perjuangan ZRA – Syahril
KUALA LUMPUR – Nama Zainal Abidin Rosli atau lebih dikenali sebagai ZRA kembali menjadi sebutan netizen selepas kepulangan semua aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) negara ini, malam tadi.
Berbeza dengan kebanyakan sukarelawan lain yang disambut ribuan rakyat Malaysia, sosok tubuh pempengaruh yang mempunyai ratusan ribu pengikut di media sosial itu ‘hilang’ semasa ketibaan kumpulan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Zainal, seorang wartawan berpengalaman yang lama memperjuangkan isu Palestin ternyata tidak ‘terbuai’ dengan populariti dan dilihat teguh dengan prinsip perjuangannya.
Itu yang disimpulkan sahabat baiknya yang juga seorang pempengaruh, Syahril A. Kadir ketika berpeluang bertemu Zainal selepas tiba di tanah air.
“Ini sahajalah yang ada,” seloroh ZRA kepada Syahril sambil memegang beg pakaiannya yang kecil, dipercayai satu-satunya barang yang dibawa pulang dari perjalanan getir itu.
Namun menurut Syahril, sahabat yang lama dikenalinya itu masih kekal dengan gaya dan penampilan ‘rugged’ walaupun terpaksa menyembunyikan penat dalam senyuman.
Katanya, usaha membawa keluar Zainal dari suasana kelam kabut di KLIA malam tadi bukan kerja mudah kerana ruang yang dipenuhi ribuan manusia dan Zainal pula antara individu utama yang ‘diburu’ petugas media untuk ditemubual.
Namun dengan perancangan rapi oleh rakan seperjuangannya, Syirfan dan beberapa individu lain, Zainal berjaya ‘dilarikan’ tanpa disedari orang ramai.
Menurut Syahril, ketiadaan Zainal ketika semua peserta GSF disambut meriah sudah dapat diduga ramai terutama dalam kalangan pengikutnya yang mengenali insan berprinsip tegas itu.
“Bagi kami yang lama dengan beliau, tahu sangat yang beliau ‘tidak selesa’ bila disambut dan diraikan, apatah lagi dianggap sebagai wira bagai semua tu.
“Jiwanya keras. Pendiriannya keras. Hati dan semangatnya lebih keras lagi,” kata Syahril dalam satu hantaran di Facebooknya pagi ini.
Namun ujarnya, sikap Zainal yang menolak publisiti bukanlah kerana sombong tetapi kerana kepercayaannya bahawa sesebuah perjuangan bukanlah untuk dipuji.
“Itu cara dia, jalan dia, pilihan dia. Itu cara ZRA. Suka atau tidak, itulah Abang Nal yang kami kenal,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








