LUAR NEGARA

Trump cadang Selat Hormuz dinamakan ‘Selat Trump’

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan supaya Selat Hormuz dinamakan semula sebagai ‘Selat Trump’, ketika konflik antara AS dan Iran terus memuncak.

Cadangan itu dibuat Trump menerusi hantaran di media sosial, sambil mendakwa laluan perairan strategik berkenaan kini berada di bawah kawalan AS.

“Sekarang kita sudah menguasainya di bawah kawalan AS, patutkah kita menukar nama Selat Hormuz kepada Selar Trump?” tulisnya.

Trump turut menyifatkan nama baharu itu akan menjadi lebih ‘panas’ berbanding sebelumnya, merujuk kepada kedudukan Amerika sebagai kuasa besar dunia.

Cadangan berkenaan muncul kurang 24 jam selepas AS melancarkan serangan ke atas beberapa sasaran di Iran, yang menurut laporan menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh, termasuk dua kanak-kanak dalam satu majlis perkahwinan di bandar Sirik, selatan Iran.

Iran kemudiannya bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu ke arah pangkalan AS di beberapa lokasi di rantau berkenaan.

Ketegangan itu turut memberi kesan kepada pasaran minyak apabila harga minyak mentah meningkat kira-kira empat peratus susulan kebimbangan konflik semakin meluas.

Walaupun pegawai AS berulang kali mendakwa Selat Hormuz kini terbuka dan jutaan tong minyak masih melalui laluan itu setiap hari, harga minyak bagaimanapun belum menunjukkan penurunan ketara dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Iran pula terus menegaskan bahawa Selat Hormuz ditutup dan berada di bawah kawalannya.

Pada Rabu, Arab Saudi turut menuduh Iran melancarkan serangan terhadap sebuah kapal tangki minyak yang mengakibatkan dua individu terbunuh.
United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO), sebuah agensi pemantauan yang mempunyai kaitan dengan Tentera Laut Diraja Britain, sebelum ini melaporkan serangan terhadap kapal-kapal yang melalui kawasan Selat Hormuz hampir setiap hari.

Di AS, harga petrol turut meningkat dan mencecah AS$4.12 segelen (3.8 liter) pada Rabu, berbanding kurang AS$3 sebelum perang tercetus pada 28 Februari lalu, menurut Persatuan Automobil Amerika (AAA).

Konflik itu bermula selepas Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melancarkan serangan terhadap Iran serta membunuh pemimpin tertinggi negara berkenaan pada awal tahun ini.

Trump sebelum ini menjanjikan konflik itu hanya akan berlangsung selama enam minggu, malah pada peringkat awal menyifatkannya sebagai satu ‘misi kecil’.

Namun, perang tersebut berlarutan dan kini memasuki bulan ketujuh.

Dalam pada itu, Trump terus mendakwa AS telah mencapai kemenangan dan menguasai Selat Hormuz, selain berulang kali mendakwa Iran telah ditewaskan dari sudut ketenteraan.

Selepas serangan AS pada Selasa, Trump memberi amaran keras kepada Tehran supaya tidak melakukan tindakan balas, dengan mengancam Iran akan berdepan serangan pada tahap lebih besar sekiranya bertindak balas.

Namun, beberapa jam kemudian, tentera Iran melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah pangkalan AS di Bahrain, Jordan dan Iraq.

Cadangan menamakan Selat Hormuz sebagai ‘Selat Trump’ dilihat sebagai usaha terbaharu Presiden AS itu untuk menegaskan pengaruh Washington dalam konflik berkenaan, yang dikritik sesetengah pihak sebagai kesilapan strategik dan semakin berubah menjadi konflik berpanjangan.

Bulan lalu, Trump turut menyifatkan Selat Hormuz sebagai “wilayah Amerika”.

Minggu lalu, beliau secara unilateral mencadangkan nama baharu bagi Lake Ontario yang bersempadan dengan AS dan Kanada, dengan menamakannya sebagai “Lake America” ketika hubungan perdagangan antara kedua-dua negara terus tegang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button