Suspek kes tembakan di Washington bawa pelbagai senjata, tembak pegawai keselamatan
WASHINGTON – Suspek insiden tembakan pada majlis White House Correspondents’ Dinner di Hotel Washington Hilton pada Sabtu malam dilaporkan menembak seorang pegawai keselamatan.
Menerusi taklimat di White House, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donal Trump berkata, lelaki itu yang turut membawa pelbagai jenis senjata telah melepasi pusat pemeriksaan keselamatan acara berkenaan.
“Seorang pegawai telah ditembak tetapi terselamat kerana beliau memakai jaket kalis peluru yang sangat baik,” katanya memetik laporan agensi berita antarabangsa.
Menurut Trump, hasil penilaian awal mendapati, tahap keselamatan lokasi kejadian tidak memuaskan.
Beliau turut memaparkan gambar suspek yang ditahan di platform Truth Social miliknya.

Sementara itu, pihak polis berkata, penembak itu dikenal pasti sebagai Cole Thomas Allen dari Torrence, California.
Dia dilaporkan membawa beberapa senjata termasuk senapang patah, pistol dan beberapa bilah pisau.
BACA JUGA:
Trump, Melania diiring keluar selepas bunyi letupan di majlis makan malam wartawan Rumah Putih
Trump juga menyifatkan suspek bergerak solo dan menegaskan tiada sebab untuk mengaitkan insiden itu dengan konflik perang yang tercetus di Iran.
Terdahulu, Trump dan isterinya, Melania diiring keluar oleh Pasukan Perkhidmatan Rahsia AS selepas beberapa bunyi tembakan kedengaran ketika majlis berlangsung.
Majlis White House Correspondents’ Dinner itu merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media dan pemimpin tertinggi AS.
Kehadiran Trump tahun ini menjadi perhatian kerana ia merupakan penampilan pertamanya sebagai presiden dalam acara tersebut sejak kembali memegang jawatan.
Acara itu berlangsung di Washington Hilton, sebuah hotel yang telah menjadi lokasi kepada pelbagai acara politik utama sejak dibuka pada tahun 1965.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













