JAIS nafi masjid jadi punca kelewatan pengebumian jenazah tular di Ukay Perdana
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan dakwaan bahawa pihak masjid menjadi punca kelewatan urusan pengebumian satu jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang, seperti yang tular menerusi media sosial pada 25 Jun lalu.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati kelewatan berlaku akibat kekeliruan dalam kalangan waris yang menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS), sebuah badan yang tidak mempunyai kaitan dengan pihak masjid.
Menurut beliau, jenazah merupakan ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.22 pagi, 25 Jun.
“Pada peringkat awal, waris memilih untuk menguruskan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melalui BKS.
“Bapa si mati hanya berjumpa dengan Pembantu Pengurus Masjid Nurul Hidayah pada jam 10.30 pagi bagi mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang diperlukan untuk urusan pengebumian, selain bersetuju agar pihak masjid mengambil alih pengurusan daripada BKS.
“Borang tersebut dikeluarkan oleh pihak masjid pada jam 11.15 pagi selepas menerima Daftar Kematian asal. Bagaimanapun, pihak masjid dimaklumkan bahawa datuk si mati masih berkeras mahu urusan pengebumian dikendalikan oleh BKS, menyebabkan pihak masjid mendapatkan bantuan polis bagi mengelakkan sebarang kekecohan.
“Apabila pihak masjid tiba di Surau An-Nur, Taman Cempaka, mereka dimaklumkan bahawa jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan oleh BKS sedangkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian masih berada dalam pegangan pihak masjid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tindakan membawa jenazah ke tanah perkuburan tanpa dokumen yang sah menyebabkan urusan pengebumian tidak dapat disempurnakan sehingga pihak pengurusan tanah perkuburan menghubungi masjid memaklumkan bahawa jenazah telah berada di liang lahad.
Katanya, pihak masjid kemudian membawa dokumen asal ke lokasi bagi membolehkan pengebumian diteruskan.
Dalam masa sama, JAIS memaklumkan pihak masjid turut mengesan penggunaan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang dipercayai palsu dan satu laporan polis telah dibuat pada 26 Jun bagi membolehkan siasatan dijalankan.
JAIS turut menafikan dakwaan bahawa pihak masjid meminta bayaran RM1,400 daripada waris bagi menguruskan pengebumian jenazah.
Sehubungan itu, JAIS menasihatkan umat Islam supaya berurusan terus dengan pihak pengurusan masjid di kariah masing-masing bagi memastikan proses pengebumian berjalan lancar serta mengelakkan kekeliruan yang boleh menyebabkan kelewatan.
Pada masa sama, JAIS menegaskan bahawa pengurusan jenazah orang Islam hendaklah disegerakan dan tidak boleh dilengahkan atas kepentingan mana-mana pihak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













