BERITA SEMASA

JAIS kekal hargai jasa guru, sambutan Hari Guru peringkat negeri diteruskan

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan pihaknya tetap menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru di bawah seliaannya meskipun sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah tidak dibenarkan tahun ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas JAIS mengeluarkan surat edaran bertarikh 7 Mei lalu kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah seluruh Selangor berhubung ketetapan berkenaan.

jais
Logo JAIS

Menurut beliau, pengiktirafan terhadap warga pendidik JAIS tetap diteruskan menerusi Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor yang dijadual berlangsung pada 21 Mei ini.

“Majlis akan mengiktiraf sumbangan guru dan kecemerlangan sekolah dalam pelbagai kategori dengan kos melebihi RM200,000 daripada peruntukan MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor kepada tokoh guru dan sekolah cemerlang yang dipilih dalam bentuk tunai atau geran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, ketetapan tidak mengadakan sambutan di peringkat sekolah dan daerah juga dibuat selaras dengan keutamaan memanfaatkan sumber kewangan bagi peningkatan profesionalisme guru serta pelaksanaan program pembangunan sahsiah dan kualiti pelajar.

Selain itu katanya, keputusan tersebut turut mengambil kira saranan kerajaan supaya rakyat berbelanja secara berhemah dan bijak dalam situasi geopolitik semasa yang tidak menentu.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut menitahkan agar rakyat di negeri ini melakukan perbelanjaan mengikut keperluan dan keutamaan secara berhemah serta bijaksana,” katanya.

Dalam pada itu, JAIS memaklumkan keputusan berkenaan turut dibuat bagi mengelakkan beban kewangan terhadap ibu bapa atau penjaga yang kebiasaannya menyediakan hadiah kepada guru atas permintaan anak-anak sempena sambutan Hari Guru.

“JAIS melihat perkara ini perlu dihentikan dalam keadaan sekarang kerana ia memberi kesan kewangan kepada ibu bapa atau penjaga,” tegasnya.

Bagaimanapun Shahzihan berkata, JAIS akan mempertimbangkan semula pelaksanaan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah apabila keadaan kembali sesuai.

“Beberapa perkara dalam pelaksanaan sambutan itu juga akan dinilai semula termasuk memastikan ia tidak mengganggu proses pembelajaran serta menggunakan tentatif yang lebih ringkas dan selaras di semua sekolah bawah seliaan JAIS,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button