BERITA SEMASA

Ceroboh tanah Masjid Dengkil: Penceroboh minta pampasan, JAIS tegaskan mereka perlu keluar segera

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan komitmen untuk bertindak tegas terhadap pencerobohan tanah rizab masjid di Dengkil, selaras dengan titah Sultan Selangor yang mahu semua tanah di bawah kawalan JAIS dibersihkan daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, isu berkenaan berpunca daripada aktiviti dan pembinaan tidak sah yang dikesan berlaku di atas tanah kerajaan yang diwartakan bagi tujuan pembinaan masjid.

“Tanah seluas 10 ekar tersebut telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2011 untuk pembinaan masjid, namun sebahagian kawasan itu telah pun diusahakan oleh individu yang berpindah dari Ladang Galloway ke tanah rizab Sungai Langat dengan status menduduki sementara (TOL),” kata kenyataan satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pengosongan tapak telah diarahkan sejak tahun 2007 namun individu terbabit membuat tuntutan pampasan dan terus menduduki kawasan tersebut sehingga kini.

Pada tahun 2024, JAIS mengesan kewujudan aktiviti pembinaan di tapak tersebut yang dijangka digunakan untuk pembangunan masjid bermula tahun 2026.

Sehubungan itu, satu surat telah dihantar kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang pada 10 September 2024 untuk tindakan penguatkuasaan berdasarkan Kanun Tanah Negara 1965.

“JAIS berpandangan laporan polis tidak perlu dibuat kerana kuasa pengosongan berada di bawah PDT. Namun, setakat ini, tiada tindakan susulan diambil terhadap surat tersebut,” katanya lagi.

Selaras dengan titah Sultan Selangor, JAIS akan bekerjasama rapat dengan PDT Sepang bagi memastikan tanah tersebut dikosongkan sepenuhnya dalam tempoh sebulan.

“JAIS akan memastikan semua tanah yang diwartakan berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada sebarang bentuk pencerobohan.

“Pemeriksaan akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan di seluruh negeri,” tambahnya dalam kenyataan itu.

Dalam masa sama, JAIS menyeru orang awam untuk tampil menyalurkan maklumat jika mengesan sebarang pencerobohan ke atas tanah-tanah di bawah kawalan jabatan itu dengan menghubungi talian hotline penguatkuasa JAIS di 1-800-88-2424.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button