BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

JAIS nafi lulus program eHati, dakwaan penganjur tidak berasas

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan dakwaan pihaknya memberikan kelulusan kepada program eHati seperti yang didakwa penganjur dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, syarikat terbabit tidak pernah mengemukakan keseluruhan modul program itu kepada JAIS walaupun telah diberikan teguran serta syor oleh panel penilai sebelum ini.

“Pada 15 November 2022, Panel Sesi Penjelasan yang dilantik JAIS telah memanggil penganjur program eHati susulan aduan daripada peserta yang mendakwa berlaku aktiviti bertentangan dengan hukum syarak dalam program tersebut.

“Dalam sesi itu, penganjur menyerahkan video kandungan program yang antara lain menyentuh kaedah self-pleasure bagi wanita kononnya untuk mengeratkan hubungan suami isteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, jelas beliau, panel penilai telah memberikan pandangan tegas supaya beberapa kandungan dalam program berkenaan dipinda atau dibuang kerana bercanggah dengan syariat Islam.

Tambah beliau, pihak penganjur turut dinasihatkan supaya mendapatkan rujukan daripada pihak berkuasa agama atau pakar yang bertauliah bagi memastikan kesemua kandungan program mematuhi hukum syarak.

“Penganjur juga diminta untuk menyertakan penafian (disclaimer) jelas bahawa kandungan video yang digunakan adalah khusus untuk pasangan suami isteri sahaja,” ujarnya.

Kenyataan media Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut beliau, segala nasihat tersebut diberikan lebih awal bagi mengelakkan sebarang pelanggaran hukum syarak seperti yang didakwa berlaku dalam sesi eHati yang berlangsung di IDCC.

“JAIS yakin insiden tersebut tidak akan berlaku sekiranya syarikat terbabit mematuhi panduan yang telah ditetapkan oleh panel penilai sejak tahun 2022,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, JAIS memaklumkan bahawa selaras keputusan Mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), pihaknya kini dalam proses menyemak dan menambah baik Garis Panduan Penganjuran Program Keagamaan dan Kerohanian Islam di negeri itu.

“Penambahbaikan ini bertujuan menyediakan satu garis panduan yang lebih komprehensif sebagai rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program bercorak keagamaan dan kerohanian di Selangor,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button