JAIS jelaskan punca 80 pelajar tidak dapat duduki UPKK
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjelaskan 80 orang pelajar Sekolah Rendah Islam (SRI) Al Afsari, Saujana Putra, Jenjarom, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) kerana sekolah berkenaan tidak berdaftar dengannya.
Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, peperiksaan UPKK dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan JAIS bertindak sebagai badan perantara di negeri Selangor.
Katanya, penyertaan pelajar tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh JAKIM, termasuk keperluan bahawa sekolah mestilah berdaftar secara sah dengan JAIS.
“SRI Al Afsari tidak berdaftar dengan JAIS di bawah Seksyen 12 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Selangor) 1988 (Pindaan 2001).
“Oleh itu, JAKIM tidak memberi laluan kepada pelajar sekolah berkenaan untuk menduduki peperiksaan UPKK sesi 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, sekolah berkenaan sebelum ini beroperasi dengan nama SRI Al Fakri, yang hanya memiliki kelulusan pendaftaran sementara pada 29 November 2012.
Ujarnya, walaupun JAIS telah mengeluarkan peringatan agar pihak sekolah memohon pendaftaran penuh selepas tempoh tersebut tamat, permohonan hanya diterima pada 21 Disember 2023.
“Permohonan itu kini dalam pertimbangan JAIS, namun pihak sekolah masih belum memenuhi syarat-syarat utama termasuk pelaksanaan kurikulum JAIS, kelulusan keselamatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pengesahan kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta kebenaran merancang aripada pihak berkuasa tempatan untuk menukar status bangunan kepada institusi pendidikan.
“Sekolah tidak dapat didaftarkan kerana belum mendapat sokongan JBPM dan tiada kelulusan kebenaran merancang daripada PBT,” katanya lagi.
Sehubungan itu katanya, JAIS menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak hanya dihantar ke sekolah rendah Islam yang berdaftar bagi mengelakkan masalah seperti ini berulang.
Pada masa sama, katanya, JAIS turut menasihatkan umat Islam agar tidak membuat tuduhan atau menyebarkan maklumat tanpa usul periksa kerana ia boleh menimbulkan fitnah serta menjejaskan reputasi institusi agama termasuk Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam negeri, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAKIM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








