Video ajaran Qadiani dari 2019, hanya ditularkan semula JAIS
KUALA LUMPUR – Video yang dikaitkan dengan penyebaran ajaran Qadiani dan tular di media sosial baru-baru ini merupakan rakaman lama dari tahun 2019 yang dikitar semula, kata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad berkata, video berkenaan yang dimuat naik semula menerusi Facebook Keranda Ghulat bukan rakaman baharu seperti yang dipercayai sesetengah pihak.
Menurut beliau, sebaik sahaja video itu mula tersebar pada 2019, JAIS telah menjalankan siasatan di lokasi yang dikaitkan dengan dakwaan kegiatan ajaran tersebut.
“Hasil siasatan ketika itu mendapati tiada bukti atau kesan aktiviti seperti yang didakwa berlaku di lokasi berkenaan.
“Malah, JAIS turut membuat pemeriksaan di lapan lokasi lain sekitar Ulu Yam yang dikaitkan dengan kegiatan seumpamanya, namun tidak menemukan sebarang petunjuk aktiviti dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan di media sosial yang mendakwa pihak berkuasa agama gagal mengambil tindakan terhadap penyebaran ajaran Qadiani di Selangor.
Pada masa sama, Shahzihan menegaskan JAIS sentiasa memantau perkembangan berkaitan ajaran tersebut termasuk mengenal pasti individu yang terlibat, pergerakan kumpulan, bentuk komunikasi serta aktiviti yang dijalankan.
Beliau turut mengingatkan bahawa ajaran Qadiani atau Ahmadiah telah difatwakan sebagai terkeluar daripada Islam di Selangor menerusi fatwa yang diwartakan pada 24 September 1998 dan 17 Ogos 2000.
Sehubungan itu, umat Islam dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang program atau aktiviti yang mempunyai kaitan dengan ajaran berkenaan kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








