BERITA SEMASA

Anwar arah KKDW, MoF selesaikan isu kelewatan bayaran kontraktor secara baik

AMPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Kewangan (MoF) berbincang bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu peruntukan dan kelewatan bayaran kepada kontraktor.

Anwar berkata, kedua-dua kementerian perlu menyelesaikan perkara itu secara baik dan tidak membiarkannya terus menjadi perdebatan terbuka.

“Kita bincang secara baik. Saya minta kementerian bincang, dua-dua kementerian dengan baik,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di sini hari ini.

Isu berkenaan timbul selepas KKDW dilaporkan berdepan kelewatan pembayaran kepada kontraktor sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran pelaksanaan projek di bawah kementerian berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan terdapat kontraktor yang telah melaksanakan kerja mengikut kemajuan dan syarat ditetapkan dalam kontrak pembangunan, termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB), namun masih berdepan kelewatan bayaran.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican menjelaskan bahawa tiada sebarang sekatan dikenakan MoF terhadap peruntukan KKDW bagi pelaksanaan projek jalan luar bandar.

Menurutnya, keseluruhan peruntukan yang diluluskan untuk KKDW telah disalurkan sepenuhnya, manakala kekangan pembayaran kepada kontraktor ketika ini berlaku kerana dana berkenaan telah dibelanjakan sepenuhnya.

Beliau berkata, MoF turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam mengingatkan semua kementerian dan agensi kerajaan supaya memastikan perbelanjaan dibuat berdasarkan peruntukan yang telah diluluskan dan dibajetkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button