BERITA SEMASA

Takiyuddin dakwa keputusan cabutan khas tak dibawa ke Kabinet

KOTA BHARU – Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan dakwaan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa Kabinet di bawah pentadbiran terdahulu memutuskan peningkatan kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun.

Sebaliknya, Takiyuddin yang ketika itu merupakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli dalam pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan perkara berkenaan tidak pernah dibawa ke Kabinet untuk dipertimbangkan.

Menurut beliau, keputusan itu hanya dibuat di peringkat Kementerian Kewangan dan tidak dimaklumkan kepada menteri-menteri lain.

“Seingat kami, perkara itu tidak pun dibawa ke Kabinet, hanya di peringkat Kementerian Kewangan.

“Minta Tengku Zafrul sahkan. Dia Menteri Kewangan, kita menteri lain.

“Tidak dibawa ke Kabinet, kita tidak ada makluman. Bila sudah keluar beberapa kali, barulah kita buat teguran, tetapi sudah diputuskan. Itu bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Tidak dibawa ke Kabinet, tidak ada kertas Kabinet, tidak ada memorandum menteri. Memang bidang kuasa dia di Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sini hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul menegaskan keputusan meningkatkan kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun merupakan tanggungjawab bersama Kabinet, yang turut dianggotai menteri daripada PAS ketika itu.

Beliau berkata, cabutan khas mula diperkenalkan pada 1999, manakala had 22 cabutan setahun sudah wujud di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Firdaus Nawi bahawa Tengku Zafrul merupakan menteri yang meluluskan peningkatan kekerapan cabutan berkenaan, sedangkan PAS membantahnya.

Dakwaan Firdaus sebelum ini dibuat bagi menjawab kritikan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa jumlah cabutan khas meningkat daripada lapan kepada 22 kali setahun ketika PAS berada dalam kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button