Cikgu Chandra sah peluk Islam, minta ruang untuk bertenang
KUALA LUMPUR – Aktivis masyarakat, Cikgu Chandra mengesahkan beliau telah memeluk Islam selepas mengucapkan dua kalimah syahadah.
Dalam hantaran video yang dimuat naik di media sosial hari ini, beliau berkata pengislamannya itu benar seperti yang diperkatakan ramai ketika ini.
“Assalamualaikum. Apa khabar rakyat Malaysia? Sihat? Ramai yang kat luar tu ada kontroversi termasuk media, betul ke Cikgu Chandra dah memeluk Islam.
“Kenyataan itu memang benar. Dan saya pun dah bersyahadah, tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Menurutnya, beliau kini masih dalam proses mendalami Islam termasuk membaca dan mengaji al-Quran serta meminta orang ramai memberikan ruang kepadanya untuk bertenang.
“Saya masih lagi baca al-Quran, mengaji al-Quran, berjinak-jinak dan berikan saya ruang untuk bertenang.
“Berikan saya panduan dan insya-Allah, selepas ini korang mungkin akan nampak Cikgu Chandra yang lebih berakhlak mulia,” katanya.
Dalam pada itu, Cikgu Chandra turut memohon maaf dan menyatakan hasrat untuk meninggalkan penggunaan kata-kata kasar yang sebelum ini dikaitkan dengannya.
BACA JUGA:
Status lafaz syahadah Cikgu Chandra cetus persoalan sudah peluk Islam
“Tak ada lagi istilah kepala otak semua dan minta semua bagi saya ruang untuk menyelesaikan masalah-masalah domestik, kes-kes mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, kemungkinan akan bertemu dengan umat Islam dalam tempoh kira-kira enam bulan akan datang, namun ketika ini masih berada dalam tempoh bertenang.
“Saya masih lagi dalam tempoh bertenang. Berikan saya ruang,” katanya.
Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook, Cikgu Chandra turut berkongsi pengalaman zaman kanak-kanaknya yang gemar mengucapkan syahadah bersama rakan-rakan Melayu.
“Dulu masa kecil suka sangat bersyahadah dengan kawan-kawan Melayu, tapi sekarang dah jadi kenyataan,” tulisnya.
Beliau turut memuat naik ungkapan memohon keampunan Allah atas dosa-dosa ketika masih belum memeluk Islam.
“Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang sewaktu menjadi kafir,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








