BERITA SEMASA

Ganggu ketenteraman awam, Cikgu Chandra ditahan polis

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menahan seorang individu yang dipercayai terlibat memuat naik kenyataan di media sosial yang disifatkan mengganggu ketenteraman awam serta menyentuh isu sensitif.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan pada 10 Februari lalu kira-kira jam 10 malam daripada seorang lelaki yang mendakwa terlihat satu paparan Facebook dimuat naik oleh individu dikenali sebagai “Cikgu Chandra”.

Menurut pengadu, kandungan tersebut didakwa menyentuh komuniti India serta isu kuil dengan kenyataan yang dianggap menghasut, menghina dan berpotensi mencetuskan ketegangan awam.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Susulan laporan itu, semalam kira-kira jam 3 petang, sepasukan polis telah membuat tangkapan terhadap suspek yang dipercayai terlibat.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran Facebook berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Polis
Kenyataan media pihak polis

Hasil siasatan awal katanya, suspek mengaku memuat naik posting tersebut kerana tidak berpuas hati serta bagi menarik perhatian pengikut di media sosial.

Sehubungan itu katanya, suspek kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Dalam kenyataan sama beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan atau memuat naik kandungan sensitif yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang boleh mengganggu keselamatan serta ketenteraman awam.

Tegasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba mengeksploitasi isu tersebut untuk kepentingan tertentu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button