WADAH pandang serius insiden bakar kereta Cikgu Chandra
Seru penyelesaian menerusi ketertiban undang-undang, kematangan sivik, kebertanggungjawaban sosial
CYBERJAYA – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) memandang serius insiden pembakaran kenderaan milik Cikgu Chandra yang dilaporkan berlaku awal pagi semalam.
Menurut WADAH, tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencerminkan kecenderungan berbahaya ke arah penyelesaian konflik melalui cara yang biadap dan bertentangan dengan nilai kenegaraan serta prinsip hidup bermasyarakat dalam negara majmuk seperti Malaysia.
“Isu ini perlu dilihat dalam kerangka lebih luas sebagai peringatan bahawa kestabilan sosial negara bergantung kepada keupayaan rakyat mengurus perbezaan secara matang, rasional dan berinstitusi.
“Dalam konteks semasa, dunia sedang berdepan ketidaktentuan geopolitik dan kebangkitan politik identiti yang sering membentuk emosi kolektif secara reaktif.
“Namun, Malaysia tidak boleh membenarkan tekanan global tersebut diterjemahkan secara emosional ke dalam ruang domestik sehingga menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Justeru, WADAH menekankan pendekatan penyelesaian perlu berteraskan ketertiban undang-undang, kematangan sivik dan kebertanggungjawaban sosial, bukannya reaksi spontan yang didorong emosi.
“Semua pihak wajar menolak budaya ‘trial by social media’, mengelakkan retorik berlebihan, serta memberi ruang kepada proses siasatan profesional berjalan dengan telus dan adil,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu turut menyebut, pengukuhan literasi masyarakat dalam era digital amat penting supaya rakyat mampu membezakan antara fakta dan persepsi, serta tidak mudah dipengaruhi sentimen yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Pembinaan masyarakat damai menuntut disiplin wacana, keupayaan mendengar secara empatik, serta komitmen terhadap nilai bersama sebagai warganegara,” katanya lagi.
Langkah sedemikian, katanya, adalah seiring dengan prinsip Islam yang menekankan keamanan dan keadilan sosial, sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; maka tiba-tiba orang yang antara engkau dan dia ada permusuhan menjadi seolah-olah teman yang sangat setia.” (Surah Fussilat: 34)
Sebagai negara majmuk yang berbilang bangsa, WADAH turut percaya kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan rakyatnya mengurus perbezaan secara berhemah, bukan secara konfrontatif.
Sehubungan itu, semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, pendidik, pengamal media dan warga digital perlu memainkan peranan membina suasana yang menenangkan, rasional dan bertanggungjawab.
“WADAH berharap pihak berkuasa akan menjalankan siasatan secara menyeluruh, profesional dan bebas, serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah menurut undang-undang,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








