WADAH kecam penyalahgunaan Qunut Nazilah, tuduhan qazaf dalam demonstrasi politik
KUALA LUMPUR – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengecam tindakan beberapa pemimpin dalam demonstrasi baju hitam yang berlangsung di Dataran Merdeka pada 26 Julai lalu kerana didakwa mencemarkan maruah Islam dan menyemai perpecahan dalam kalangan umat.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Timbalan Presidennya, Hasri Harun menegaskan bahawa terdapat dua pelanggaran besar yang berlaku dalam himpunan tersebut iaitu penyalahgunaan Qunut Nazilah oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan tuduhan qazaf oleh Datuk Ibrahim Ali.
Menurut beliau, bacaan Qunut Nazilah yang dibaca oleh Zulkifli dalam perhimpunan itu menyimpang daripada tujuan asal yang digariskan oleh Rasulullah SAW iaitu sebagai doa dalam keadaan umat Islam berdepan musibah besar seperti perang atau penindasan.
“Penggunaan Qunut Nazilah untuk mendoakan keburukan terhadap pemimpin Muslim atas perbezaan politik adalah penyelewengan terhadap maksud sebenar syariat, mencemarkan kesucian doa dan melahirkan budaya laknat yang membinasakan ukhuwah,” kata Hasri.
Dalam insiden sama, Ibrahim turut dilaporkan membuat tuduhan serius terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menuduhnya terlibat dalam perlakuan liwat dan seks songsang tanpa membawa empat orang saksi seperti yang dituntut oleh hukum Islam.
“Menurut jumhur ulama, tuduhan liwat adalah kesalahan qazaf jika tidak dibuktikan. Ia bukan hanya berdosa besar tetapi juga mencerminkan kejahilan dan keangkuhan dalam wacana politik umat Islam,” katanya lagi.
WADAH turut memetik pandangan ulama berdasarkan kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah yang menyatakan bahawa tuduhan liwat tanpa bukti termasuk dalam kategori qazaf dan wajib dikenakan hukuman had.
Sehubungan itu, WADAH menyeru semua pihak khususnya agamawan, pendakwah dan pemimpin masyarakat untuk menghentikan penyalahgunaan doa, menjaga adab dalam perbezaan pandangan, menolak budaya fitnah serta mendoakan kebaikan buat pemimpin umat Islam.
“Qunut Nazilah bukan alat laknat dan politik Islam bukan medan maki hamun serta fitnah murahan. Kembalilah kepada jalan wasatiyyah, suburkan hikmah dan bina perpaduan,” tegas Hasri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








