JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar Tingkatan Lima direman dua hari disyaki belasah junior

ALOR GAJAH – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di Pulau Sebang, di sini, direman dua hari selepas disyaki membelasah pelajar Tingkatan Empat sehingga mangsa terpaksa menerima rawatan di hospital.

Perintah reman terhadap suspek berusia 17 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Alor Gajah dan berkuat kuasa sehingga 19 Ogos ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku pada pukul 10 pagi Jumaat lalu ketika mangsa sedang membersihkan papan putih di dalam kelas.

Menurutnya, suspek kemudian datang menghampiri mangsa sebelum berlaku kekasaran dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-duanya.

“Siasatan awal mendapati perselisihan faham berlaku selepas mangsa dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Suspek kemudian meluahkan rasa tidak puas hati kepada mangsa sebelum melakukan kekasaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek dipercayai menumbuk mangsa beberapa kali selain menendangnya sehingga mengenai bahagian muka, kepala, perut dan kemaluan.

Ahmad berkata, mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada bapanya sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Ampat.

“Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Melaka dan ditahan di wad selama sehari bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.

Susulan itu, bapa mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan suspek dan permohonan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan serta melakukan ugutan jenayah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button