Piala Dunia 2026: Pemain Cape Verde dedah perjalanan memeluk Islam
PRAIA – Di sebalik kempen bersejarah Cape Verde pada Piala Dunia FIFA 2026, pemain pertahanan pasukan itu, Steven Moreira berkongsi kisah penghijrahannya memeluk Islam yang menyentuh hati ramai peminat di seluruh dunia.
Menerusi temu bual bersama Qalby Studio, Moreira berkata, minatnya terhadap Islam bermula selepas melihat seorang rakan Muslim istiqamah menunaikan solat lima waktu dan berpuasa sepanjang Ramadan.
“Saya melihat rakan saya solat setiap hari dan berpuasa pada Ramadan. Saya mula bertanya soalan, kemudian saya cuba melakukannya sendiri. Selepas itu, saya memeluk Islam,” katanya.
Menurut pemain berusia 31 tahun itu, keputusan memeluk Islam bukan sesuatu yang mudah kerana beliau tidak dibesarkan dalam keluarga beragama Islam.
“Saya tidak dibesarkan sebagai seorang Muslim, jadi pada mulanya saya berasa takut. Saya tidak tahu bagaimana keluarga saya akan menerima keputusan itu,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau bersyukur apabila keluarganya menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.
“Tetapi apabila saya memberitahu mereka, mereka berkata: ‘Kini kamu menjadi seorang yang lebih baik.’ Alhamdulillah.”
Perkongsian itu mendapat perhatian meluas di media sosial, dengan ramai netizen menyifatkan kisah Moreira sebagai bukti bahawa akhlak dan amalan harian seorang Muslim mampu menjadi medium dakwah yang berkesan.
Di atas padang, Moreira turut mencipta sejarah apabila membantu Cape Verde membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia selepas negara kepulauan Afrika itu layak buat kali pertama ke kejohanan berkenaan.
Kemaraan mereka ke pusingan 32 terbaik dianggap antara kejutan terbesar edisi kali ini sebelum tewas 2-3 kepada juara dunia, Argentina selepas memberikan tentangan sengit dalam perlawanan yang berlanjutan ke masa tambahan.
Menurut laporan agensi berita antarabangsa, pencapaian Cape Verde di Piala Dunia 2026 mencuri perhatian pemerhati bola sepak kerana skuad itu hadir sebagai antara pasukan bukan pilihan.
Namun mereka berjaya mempamerkan disiplin dan semangat juang tinggi sepanjang kempen mereka.
Prestasi itu turut mendapat pujian ramai penganalisis yang menyifatkannya sebagai detik penting dalam sejarah bola sepak negara kepulauan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








