BERITA SEMASA

Hossam Hassan dakwa pengadilan tidak adil selepas Mesir tewas dramatik kepada Argentina

WASHINGTON – Ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan, melancarkan kritikan keras terhadap mutu pengadilan selepas pasukannya tewas 2-3 kepada Argentina dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, sambil mendakwa kejohanan itu seolah-olah “memihak kepada Argentina”.

Mesir yang mendahului 2-0 gagal mempertahankan kelebihan apabila juara bertahan itu meledak tiga gol dalam tempoh 13 minit, termasuk jaringan kemenangan Enzo Fernandez pada minit ke-92 untuk mengesahkan tempat Argentina ke suku akhir menentang Switzerland.

Bagaimanapun, kemenangan dramatik Argentina dibayangi kontroversi apabila Hassan mendakwa Mesir dinafikan sekurang-kurangnya dua sepakan penalti dan beberapa keputusan penting tidak dirujuk kepada Sistem Bantuan Pengadil Video (VAR).

Beliau berkata Mohamed Salah dijatuhkan dalam kotak penalti sebelum Argentina melancarkan serangan balas yang membawa kepada gol kemenangan, namun insiden itu tidak disemak oleh VAR. Hassan turut mempersoalkan tindakan Alexis Mac Allister yang didakwa menarik Hamdi Fathy di dalam kawasan penalti tanpa sebarang semakan video.

Selain itu, Mesir juga menyaksikan satu gol Zico dibatalkan selepas VAR memutuskan berlaku kekasaran ke atas Lisandro Martinez dalam gerakan yang membawa kepada jaringan tersebut.

Pada sidang media selepas perlawanan, Hassan menyuarakan rasa kecewa terhadap keputusan pengadil.

“Hidup ini tidak adil, dunia juga tidak adil. Tetapi mengapa tiada keadilan dalam sukan? Saya tidak dapat menerima keputusan dan cara perlawanan ini berlangsung.

“Pengadil tidak adil. Dia telah mensia-siakan usaha seluruh negara. Piala Dunia ini seolah-olah diarahkan kepada Argentina,” katanya.

Hassan turut mendakwa tiada semangat kesukanan ditunjukkan apabila beberapa keputusan penting memihak kepada lawan.

“Satu penalti untuk kami langsung tidak diperiksa oleh VAR. Gol kedua kami juga dibatalkan tanpa alasan yang jelas. Semua orang melihat baju pemain kami ditarik tetapi tiada semakan dilakukan.

“Nampaknya terdapat tekanan daripada pihak Argentina terhadap pengadil sehingga membawa kepada keputusan seperti ini,” katanya.

Jurulatih Mesir itu turut dilayangkan kad kuning oleh pengadil dari Perancis, Francois Letexier, selepas membantah jaringan kemenangan Argentina.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button