SUKAN

Piala Dunia ISTAF: ‘Magis’ di Titiwangsa, skuad kuadran negara bangkit benam Vietnam ke final

KUALA LUMPUR – Skuad kuadran sepak takraw negara mempamerkan kebangkitan luar biasa demi maruah negara apabila mengesahkan slot ke pentas final Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026, sebentar tadi.

Kemenangan dramatik itu diraih selepas barisan negara menumbangkan Vietnam 2-1 dalam aksi separuh akhir yang penuh debaran di Stadium Titiwangsa.

Gandingan mantap Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi terpaksa mengharungi aksi herkulian sebelum menang 15-13, 12-15, 17-14.

Set pertama berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata, namun ketenangan skuad negara di saat genting memastikan kemenangan 15-13 hasil rejaman penutup Shahalril Aiman.

Bagaimanapun, Vietnam enggan menyerah mudah apabila tampil lebih agresif pada set kedua untuk menang 15-12 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi di set ketiga nyata menguji jantung peminat takraw tempatan apabila Malaysia ketinggalan jauh 7-12. Namun, berkat semangat juang yang tinggi, Malaysia bangkit merapatkan jurang.

Shahalril Aiman sekali lagi muncul wira apabila meledak tiga mata penting berturut-turut sebelum menghadang kemas libasan terakhir Vietnam untuk menoktahkan kemenangan 17-14.

Kejayaan melangkah ke perlawanan akhir ini bukan sahaja mencerahkan peluang Malaysia memburu kejuaraan, malah ia menjadi medan melunaskan dendam yang amat manis.

Untuk rekod, pada edisi terdahulu di Bihar, India, langkah skuad negara disekat oleh lawan yang sama di peringkat kumpulan, menyebabkan Malaysia tersingkir awal.

Kemenangan penuh dramatik ini membuktikan skuad negara kini berada pada tahap mental terbaik untuk bergelar juara dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button