10 maut termasuk dua kanak-kanak dalam nahas bas pelancong di Vietnam
HANOI – Sekurang-kurangnya 10 penumpang termasuk dua kanak-kanak maut selepas sebuah bas pelancong terbalik dalam satu kemalangan ngeri di wilayah Ha Tinh, tengah Vietnam, semalam.
Bas perjalanan jarak jauh (sleeper) dari ibu negara Hanoi menuju ke bandar pelancongan Da Nang itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan, melanggar beberapa penanda jalan dan terbalik di Lebuh Raya Nasional.
Menurut kenyataan pihak berkuasa, kejadian berlaku pada waktu malam dan mengakibatkan ramai penumpang cedera, termasuk yang parah, lapor Al Jazeera.
Media tempatan melaporkan lima daripada mangsa yang terbunuh merupakan pelancong tempatan yang dalam perjalanan bercuti ke Da Nang, sebuah bandar pelabuhan lama era penjajahan Perancis yang kini menjadi tarikan pelancong domestik dan antarabangsa.
“Saya tidak mampu bangun, badan dan tangan saya dihimpit ke sisi katil,” kata salah seorang mangsa yang terselamat kepada portal berita Dan Tri.
Tambahnya kebanyakan mangsa yang maut berada di katil tingkat bawah bahagian hadapan bas dan mengalami hentakan kuat.
Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, telah mengarahkan siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi itu.
Insiden itu berlaku kurang seminggu selepas kejadian menyayat hati yang mengorbankan puluhan nyawa apabila sebuah bot pelancong karam di kawasan pelancongan terkenal Ha Long Bay.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








