SUKAN

Piala Dunia: Ivory Coast mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama, perjalanan Curacao terhenti

PHILADELPHIA – Ivory Coast melakar sejarah apabila mara ke pusingan kalah mati 2026 FIFA World Cup buat kali pertama selepas menewaskan Curacao 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Philadelphia.

Kemenangan itu menyaksikan pasukan itu menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata hasil dua kemenangan daripada tiga perlawanan, sekali gus menempah tiket ke pusingan 32 pasukan.

Penyerang berpengalaman, Nicolas Pepe muncul wira pasukan apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit ketujuh dan ke-64.

Gol pembukaan hadir selepas Yan Diomande berjaya merampas bola daripada benteng Curacao sebelum melorongkannya kepada Pepe untuk disudahkan ke gawang.

Bekas pemain Arsenal itu kemudian menggandakan jaringan menerusi rembatan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol Curacao, Eloy Room.

Pengendali Ivory Coast, Emerse Fae menyifatkan kejayaan itu sebagai detik bersejarah buat negaranya.

“Saya mahu penyokong menikmati dan meraikan kelayakan bersejarah ini. Selepas itu, teruskan memberikan sokongan positif supaya kami mampu melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini.

“Saya amat gembira dengan keputusan ini. Walaupun belum semuanya sempurna, kami berjaya mengekalkan rekod tanpa dibolosi dan ia meningkatkan keyakinan pasukan,” katanya.

Sementara itu, Curacao yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia menamatkan kempen di tangga tercorot Kumpulan E dengan hanya satu mata daripada tiga perlawanan.

Walaupun tersingkir, pasukan dari Caribbean itu tetap mempamerkan persembahan berani dan hampir menjaringkan gol menerusi Juninho Bacuna sebelum rehat, namun percubaannya tersasar.

Ivory Coast dijadual berdepan sama ada Perancis atau Norway dalam pusingan 32 terbaik pada 30 Jun, bergantung kepada keputusan akhir Kumpulan I.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button