Endrick jaring gol kemenangan Brazil ke atas Mesir dalam aksi persahabatan terakhir sebelum Piala Dunia
OHIO – Brazil menewaskan Mesir 2-1 dalam perlawanan persahabatan terakhir mereka menjelang kempen Piala Dunia FIFA 2026.
Gol buat skuad kendalian Carlo Ancelotti dijaringkan oleh Bruno Guimarães dan Endrick, manakala Mostafa Ziko mencetak gol tunggal Mesir.
Perlawanan bermula dengan tempo yang menarik apabila Brazil menguasai bola dan cuba mengawal rentak permainan, sementara Mesir tampil lebih berdisiplin di bahagian pertahanan serta mengharapkan serangan balas pantas.
Brazil membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Bruno Guimaraes yang memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan tepat untuk menewaskan penjaga gol Mesir.
Namun, Mesir berjaya menyamakan kedudukan tiga minit kemudian selepas kapten Brazil, Marquinhos, melakukan kesilapan hantaran yang dipintas oleh Ziko.
Pemain sayap itu tidak mensia-siakan peluang apabila mudah menewaskan Alisson dalam situasi satu lawan satu.

Selepas itu, Brazil terus mencipta beberapa peluang menerusi Vinicius Junior dan Igor Thiago, namun gagal menambah jaringan sebelum tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Ancelotti melakukan pertukaran besar-besaran dengan menukar hampir keseluruhan kesebelasan utama bagi memberi minit permainan kepada pemain lain serta mengelakkan risiko kecederaan menjelang Piala Dunia.
Langkah itu membuahkan hasil apabila Endrick, yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada waktu rehat, menjaringkan gol kemenangan Brazil pada minit ke-51 menerusi penyudah kemas di dalam kotak penalti.
Selepas mendahului 2-1, Brazil lebih banyak mengawal permainan dan mengurangkan risiko, manakala Mesir cuba mencari gol penyamaan selepas kemasukan Mohamed Salah pada awal babak kedua.
Namun, usaha pasukan Afrika itu gagal menghasilkan jaringan.
Keputusan Penuh
Selepas ini Brazil akan memulakan kempen Piala Dunia FIFA 2026 pada Sabtu depan menentang pasukan Morocco dalam aksi Kumpulan C.
Mesir pula akan membuka saingan Kumpulan G pada 15 Jun dengan menentang pasukan Belgium. Lawan lain mereka dalam kumpulan tersebut ialah Iran dan New Zealand.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















