Ronaldo ‘amat positif’ hadapi cabaran kempen Piala Dunia 2026
LISBON – Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo menyatakan beliau berada dalam keadaan ‘amat positif’ menjelang kempen Piala Dunia 2026, yang telah membuka tirainya semalam.
Pemain berusia 41 tahun itu berkata, persiapan pasukan berjalan dengan baik walaupun diakui agak meletihkan kerana intensiti latihan yang tinggi.
“Kami menghadapi kejohanan ini dengan penuh harapan. Persiapan berjalan dengan sangat baik, walaupun memenatkan kerana kami bekerja keras. Tahap fizikal saya juga masih berada dalam keadaan baik.
“Saya sangat positif, saya percaya segala-galanya akan berjalan lancar dan kami akan mempamerkan prestasi yang baik. Ia adalah generasi yang sangat baik, yang akan membawa banyak kegembiraan kepada rakyat Portugal,” katanya lapor AFP.
Pemenang Ballon d’Or lima kali itu berkata demikian sebelum berlepas dari Lisbon ke kem latihan Piala Dunia di Palm Beach, Florida.
Dalam pada itu, Ronaldo menegaskan kepentingan memulakan kempen dengan baik dalam perlawanan pertama sebelum memikirkan aksi seterusnya.
“Perkara paling penting adalah memulakan kempen dengan baik dalam perlawanan pertama, kemudian diikuti perlawanan kedua dan ketiga… menamatkan saingan sebagai juara kumpulan dan selepas itu mengambil satu perlawanan pada satu masa,” katanya.
Portugal akan membuka kempen Piala Dunia mereka Khamis ini di Houston menentang DR Congo sebelum berdepan Uzbekistan dan Colombia dalam saingan Kumpulan K.
Pada usia 41 tahun, Ronaldo bakal beraksi dalam rekod penampilan Piala Dunia keenamnya, namun terdapat kebimbangan segelintir pihak bahawa kehadirannya mungkin mengekang perkembangan taktikal pasukan kendalian Roberto Martinez.
Portugal sebelum ini mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Chile dan Nigeria dengan kedua-duanya berakhir kemenangan 2-1, namun Ronaldo belum berjaya mencatat nama sebagai penjaring.
Dalam sejarah Piala Dunia, Portugal menamatkan saingan di tempat ketiga pada edisi 1966 sebelum mara ke suku akhir di Qatar empat tahun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








