
Peminat desak FIFA henti jualan tiket Piala Dunia 2026
PARIS – Kumpulan Penyokong Bola Sepak Eropah (FSE) mendesak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menghentikan serta-merta penjualan tiket Piala Dunia 2026 susulan kenaikan harga yang didakwa terlalu tinggi dan membebankan penyokong.
FSE berkata, harga tiket untuk kejohanan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico itu meningkat hampir lima kali ganda berbanding edisi Piala Dunia 2022 di Qatar, sekali gus menimbulkan kemarahan penyokong yang setia mengikuti kejohanan berprestij tersebut.
“Tiket yang lazimnya diperuntukkan kepada persatuan kebangsaan dan diagihkan melalui kumpulan penyokong rasmi atau program kesetiaan kini berada pada harga yang dianggap di luar kemampuan ramai,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Berdasarkan maklumat semasa, FSE menganggarkan seorang penyokong yang ingin mengikuti pasukan mereka dari perlawanan pembukaan hingga final perlu menanggung perbelanjaan sekurang-kurangnya AS$6,900 (RM28,290).
“Kami menggesa FIFA menghentikan penjualan tiket, mengadakan rundingan dengan semua pihak berkaitan dan menyemak semula harga serta pengagihan tiket sehingga satu penyelesaian yang adil kepada penyokong dapat dicapai,” katanya lagi.
Kumpulan itu turut mendakwa FIFA gagal menunaikan janji seperti yang ditawarkan dalam dokumen bidaan 2018, yang menjanjikan harga tiket serendah AS$21 (RM86).
“Di mana tiket-tiket itu sekarang?” soal FSE sambil menyatakan bahawa kos keseluruhan bagi kategori termurah yang sepatutnya sekitar AS$2,242 (RM9,192) kini sudah tidak kelihatan,” katanya lagi.
Setakat ini, FIFA belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung tuntutan FSE.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








