SUKAN

Presiden UEFA boikot final Piala Dunia 2026, bantah keputusan FIFA

LONDON – Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin dilaporkan memboikot aksi final Piala Dunia baru-baru ini sebagai tanda protes terhadap beberapa keputusan yang dibuat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), menurut laporan media Britain.

Tindakan itu dilihat mencerminkan hubungan yang semakin tegang antara badan induk bola sepak Eropah dan FIFA sepanjang kejohanan tersebut.

Antara punca utama ketegangan ialah keputusan FIFA menarik balik penggantungan penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun, selepas beliau dilayangkan kad merah menjelang aksi menentang Belgium.

Keputusan itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan meminta Presiden FIFA, Gianni Infantino, supaya menyemak semula hukuman berkenaan.

UEFA menyifatkan tindakan jawatankuasa disiplin FIFA itu sebagai ‘belum pernah berlaku, sukar difahami dan tidak boleh dipertahankan’, selain mendakwa ia melangkaui batas serta tunduk kepada tekanan politik daripada negara tuan rumah.

Selain itu, UEFA turut tidak berpuas hati apabila FIFA gagal memastikan pengadil dari Somalia, Omar Artan, dibenarkan memasuki Amerika Syarikat selepas ditolak pihak berkuasa negara itu. Sebagai ‘balasan’, UEFA melantik Artan untuk mengadili perlawanan Piala Super UEFA bulan depan.

FIFA juga dikritik kerana gagal memastikan layanan sama rata terhadap skuad Iran sepanjang kejohanan. Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei, mendakwa pasukannya menjadi ‘mangsa paling tertindas’ pada Piala Dunia, manakala Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Markwayne Mullin, secara terbuka mengakui beliau ‘menari gembira’ selepas Iran tersingkir.

Dalam masa sama, UEFA masih enggan menerima pakai beberapa pembaharuan diperkenalkan FIFA pada Piala Dunia, termasuk waktu rehat hidrasi, protokol VAR bagi kes tersalah kenal pasti pemain serta kad amaran terhadap pemain yang menutup mulut ketika bercakap dengan lawan.

Sebelum kejohanan bermula, Ceferin turut mengkritik format baharu Piala Dunia yang melibatkan 48 pasukan kerana menyifatkan banyak perlawanan tidak lagi menarik.

Beliau juga beberapa kali menyuarakan bantahan terhadap harga tiket Piala Dunia yang dianggap terlalu mahal.

Sebagai perbandingan, UEFA memaklumkan Kejohanan Euro 2028 di United Kingdom dan Ireland akan mengekalkan kategori tiket ‘fan first’, dengan 40 peratus tiket dijual pada harga di bawah £30 (RM170) atau £60 (RM340), selain tidak akan melaksanakan sistem harga dinamik.

Ceferin sebelum ini dilihat menghadiri majlis pembukaan Piala Dunia di Mexico City pada 11 Jun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button