‘Keadilan itu sentiasa wujud’
SEATTLE – Pemain tengah Belgium, Nicolas Raskin menyifatkan kemenangan 4-1 ke atas Amerika Syarikat (AS) pada aksi Piala Dunia, pagi tadi sebagai satu bentuk keadilan susulan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan penyerang tuan rumah, Folarin Balogun, beraksi walaupun menerima kad merah dalam perlawanan sebelum ini.
Memetik laporan Reuters, dalam perlawanan menentang Bosnia Herzegovina itu, Balogun dilayangkan kad merah setelah didapati mengasari pemain lawan.
Berdasarkan undang-undang perlawanan, pemain yang dibuang padang akan dikenakan penggantungan automatik satu perlawanan.
Bagaimanapun, FIFA menggantung pelaksanaan hukuman itu di bawah Perkara 27 Kod Tatatertibnya selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, meminta Presiden FIFA, Gianni Infantino, menyemak semula kes berkenaan.
Keputusan tersebut mencetuskan kritikan meluas, termasuk daripada Persekutuan Bola Sepak Belgium yang gagal dalam rayuan mencabar kelayakan Balogun hanya beberapa jam sebelum sepak mula.
Namun Belgium menamatkan kontroversi itu di atas padang apabila membelasah tuan rumah 4-1 untuk mara ke suku akhir.
Gol Belgium hadir menerusi Charles de Ketelaere (9′, 33′), Hans Vanaken (57′) dan Romelu Lukaku (90+3′) manakal gol pasukan AS dijaringkan oleh Malik Tillman pada minit ke-31.
“Seperti yang saya katakan, saya percaya keadilan itu sentiasa wujud. Apa yang berlaku itu boleh dipertahankan dengan apa juga alasan, tetapi bagi kami ia tidak adil.
“Hari ini, saya rasa ia membawa sedikit tuah kepada kami. Apa yang penting, kami perlu menang dan kami berjaya melakukannya,” kata Raskin.
Belgium akan menentang Sepanyol di Los Angeles, Jumaat ini bagi merebut tempat ke suku akhir.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















