SUKAN

Paraguay cipta sensasi, singkir Jerman menerusi penentuan penalti di Piala Dunia

BOSTON – Paraguay mencipta antara kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia apabila menyingkirkan juara empat kali, Jerman menerusi kemenangan 4-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia awal pagi tadi.

Paraguay terlebih dahulu mengejutkan lawan apabila Julio Enciso meledak gol pembukaan menerusi tandukan pada minit ke-42 hasil hantaran silang Matias Galarza, sekali gus memberikan kelebihan 1-0 menjelang waktu rehat.

Jerman bangkit pada babak kedua apabila Kai Havertz menyamakan kedudukan pada minit ke-53 menerusi tandukan hasil hantaran Florian Wirtz.

Skuad kendalian Jerman hampir mendahului selepas Jonathan Tah menjaringkan gol daripada sepakan sudut, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlaku kekasaran ke atas penjaga gol Paraguay.

Keputusan kekal 1-1 sehingga tamat masa tambahan, memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Dalam penentuan itu, Havertz gagal menyempurnakan sepakan pertama Jerman, manakala Nick Woltemade dan Tah turut mensia-siakan peluang.

Paraguay yang mempunyai kelebihan awal pula terlepas dua sepakan berturut-turut, namun berjaya memastikan kemenangan 4-3 selepas Jose Canale menyempurnakan sepakan penalti penentu.

Kekalahan itu menyaksikan kempen Piala Dunia 2026 Jerman berakhir lebih awal, selain menjadi kekalahan pertama mereka menerusi penentuan penalti dalam sejarah penyertaan di Piala Dunia.

Jerman yang menghuni ranking ke-10 dunia sebelum kejohanan dianggap sebagai pilihan berbanding Paraguay yang berada di tangga ke-41 dunia, menjadikan keputusan itu antara kejutan paling besar dalam sejarah kejohanan berprestij tersebut.

Paraguay kini mara ke pusingan 16 terbaik dan akan menentang pemenang perlawanan antara Perancis atau Sweden di Philadelphia pada 4 Julai nanti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button