Stadium Titiwangsa tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw 2026
26 negara ambil bahagian edisi kali ini
KUALA LUMPUR – Sebanyak 26 negara bakal mengambil bahagian pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang akan berlangsung pada 12 hingga 24 Mei depan.
Menurut Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, Stadium Titiwangsa, di sini akan sekali lagi menjadi venue bagi kejohanan berkenaan sama seperti Piala Asia tahun lalu dan Piala Dunia 2024.
Tambahnya, 14 negara bakal mengambil bahagian Divisyen Premier manakala selebihnya akan bertanding dalam Divisyen Satu, lapor BERNAMA.
“Untuk Divisyen Premier, acara yang dipertandingkan ialah kuadran, regu dan regu berpasukan manakala Divisyen Satu hanya dua acara sahaja iaitu regu dan kuadran.
“Bagi Divisyen Premier antara pasukan yang mengambil bahagian ialah Malaysia, Thailand, Vietnam dan Singapura termasuk dua yang dinaik pangkat, Iran dan Taiwan,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Bagi Divisyen Satu, antara pasukan yang bertanding termasuk Amerika Syarikat, Poland serta Perancis.
Mohd Sumali turut memaklumkan, tiada had ditetapkan kepada negara yang bertanding untuk menyertai acara dipertandingkan dalam divisyen masing-masing berbanding sebelum ini.
“Jadi saya menjangkakan Piala Dunia kali ini akan lebih rancak dan semua negara yang mengambil bahagian boleh masuk kesemua acara yang dipertandingkan dalam divisyen masing-masing,” katanya.
Pada Piala Dunia tahun lalu yang berlangsung di Bihar, India, Malaysia berjaya membawa pulang tiga pingat gangsa menerusi doubles lelaki serta regu dan kuadran wanita.
Malaysia tidak menyertai acara regu dan regu berpasukan lelaki pada edisi berkenaan memandangkan tidak dipertandingkan bagi Divisyen Premier.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








