SUKAN

Piala Dunia: Neymar kemungkinan terlepas semua aksi Kumpulan C

NEW YORK – Bintang Brazil, Neymar, berkemungkinan terlepas baki saingan peringkat kumpulan Piala Dunia FIFA susulan kecederaan otot betis yang dihadapinya.

Memetik laporan ESPN, penyerang berusia 34 tahun itu dilaporkan tidak menjalani latihan bersama skuad menjelang perlawanan kedua Kumpulan C Brazil menentang Haiti dan telah menjalani satu lagi pemeriksaan perubatan, iaitu penilaian yang sama seperti yang dilakukan seminggu lalu.

Namun, keputusan ujian terbaharu itu masih belum disahkan oleh Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF), lapor ESPN.

Neymar disenaraikan dalam skuad Piala Dunia Brazil walaupun mengalami kecederaan otot tahap dua ketika beraksi bersama Santos pada 17 Mei lalu.

Beliau masih belum kembali menjalani latihan penuh dan tidak menyertai sesi latihan pada Isnin di pusat latihan New York Red Bulls.

Media Brazil yang dipetik ESPN melaporkan bahawa pasukan perubatan menyasarkan Neymar kembali beraksi pada peringkat kalah mati, yang bermakna beliau berkemungkinan besar akan terlepas kedua-dua perlawanan menentang Haiti dan Scotland dalam saingan peringkat kumpulan.

Brazil memulakan kempen Piala Dunia mereka dengan keputusan seri 1-1 menentang Maghribi pada Sabtu lalu, dengan Neymar berada dalam kalangan pemain simpanan tetapi tidak mengenakan kit perlawanan pasukan.

“Neymar sedang bekerja keras untuk pulih secepat mungkin,” kata ketua jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, sebelum perlawanan pembukaan.

Ancelotti menjangkakan pemain itu akan pulih dan kembali menyertai kumpulan pada minggu depan.

“Apabila kami memasukkannya ke dalam skuad, kami bukan sahaja mengambil kira kemampuan teknikalnya yang sememangnya tidak boleh dipertikaikan, tetapi juga pengalaman serta teladan yang ditunjukkannya kepada pemain-pemain muda dalam pasukan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button