BERITA SEMASASUKAN

FIFA tawar tiket Piala Dunia serendah RM245 untuk ‘peminat setia’

PARIS – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan kategori tiket lebih murah bagi Piala Dunia 2026 susulan kritikan berterusan terhadap harga tiket kejohanan itu yang disifatkan terlalu mahal oleh peminat bola sepak di seluruh dunia.

Dalam satu kenyataan, FIFA memaklumkan kategori baharu dikenali sebagai Supporter Entry Tier diwujudkan sebagai tiket rasmi khusus untuk penyokong setia pasukan kebangsaan masing-masing.

Menurut FIFA, tiket berkenaan dijual pada harga AS$60 atau bersamaan RM245 setiap satu dan ditawarkan bagi kesemua 104 perlawanan termasuk aksi final Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Walau bagaimanapun, kumpulan penyokong Football Supporters Europe (FSE) menyifatkan langkah itu sebagai tidak mencukupi untuk meredakan kebimbangan peminat.

FSE menegaskan harga asal tiket Piala Dunia 2026 hampir lima kali ganda lebih tinggi berbanding Piala Dunia 2022 di Qatar, manakala pengumuman FIFA disifatkan sekadar usaha meredakan kemarahan global.

“Berdasarkan peruntukan yang tersedia secara awam, hanya beberapa ratus peminat setiap perlawanan dan pasukan berpeluang menikmati harga AS$60, sedangkan majoriti masih terpaksa membayar harga tinggi,” menurut kenyataan FSE.

Organisasi itu turut mengkritik kegagalan FIFA menyediakan kemudahan mencukupi untuk peminat orang kurang upaya (OKU) serta pengiring mereka.

FIFA bagaimanapun menegaskan persekutuan bola sepak kebangsaan diminta memastikan tiket kategori tersebut dikhaskan kepada penyokong setia yang mempunyai hubungan rapat dengan pasukan kebangsaan masing-masing.

Selain itu, FIFA memaklumkan yuran pentadbiran akan dikecualikan sekiranya peminat membeli tiket bagi perlawanan pusingan kalah mati, namun pasukan mereka tersingkir lebih awal, ketika proses bayaran balik dibuat.

Pengumuman tiket berharga AS$60 itu dibuat ketika permintaan terhadap tiket Piala Dunia 2026 berada pada tahap luar biasa, dengan kira-kira 20 juta permintaan telah diterima setakat ini.

Undian bagi tiket semua kategori dalam pusingan jualan pertama dijadualkan berlangsung pada Selasa, 13 Januari depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button