SUKAN

NSTDP Putrajaya kenal pasti 30 bakat baharu, latihan bermula minggu depan

PUTRAJAYA – Seramai 30 bakat muda baharu berjaya dikesan dalam sesi pemilihan Program Pembangunan Sepak Takraw yang berlangsung di sini pagi ini.

Jurulatih NSTDP Putrajaya, Azam Shah berkata, program yang bermula seawal jam 8 pagi itu disertai kira-kira 50 peserta dari sekitar Putrajaya melibatkan kategori bawah 14 tahun dan bawah 16 tahun.

nstdp putrajaya
NSTDP Putrajaya

Menurutnya, hasil pemilihan tersebut, seramai 15 peserta dipilih bagi kategori bawah 14 tahun manakala 15 lagi bagi kategori bawah 16 tahun.

“Alhamdulillah, kita berjaya mengenal pasti bakat-bakat yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Latihan bagi peserta yang terpilih akan bermula minggu depan iaitu setiap Selasa dan Khamis,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Beliau berkata, sebahagian besar peserta khususnya bagi kategori bawah 14 tahun masih di peringkat asas dan memerlukan bimbingan intensif.

nstdp putrajaya
50 orang pelajar hadir untuk pemilihan NSTDP Putrajaya hari ini.

“Ini merupakan cabaran kepada kami untuk menggilap dan membentuk kemahiran mereka dari peringkat awal agar mampu bersaing pada tahap lebih tinggi,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Azam memaklumkan program NSTDP turut melibatkan pertandingan di peringkat negeri sebelum kemuncaknya dijadualkan berlangsung pada November tahun ini.

“Bagi peringkat negeri, tarikh pertandingan masih menunggu pengesahan daripada pihak pusat,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia atas usaha berterusan dalam membangunkan bakat muda di seluruh negara.

“Inisiatif ini amat penting bagi mencungkil dan mengembangkan potensi pemain muda di setiap negeri,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button