Malaysia juara kuadran Piala Asia 2025
KUALA LUMPUR – Skuad sepak takraw negara mencipta sejarah tersendiri apabila menewaskan Jepun untuk muncul juara acara kuadran pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa semalam.
Dalam perlawanan penuh dramatik dan disaksikan lebih 1,000 penyokong, pasukan negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Shahalril Aiman Halim mempamerkan persembahan cemerlang untuk menguasai set pertama dengan kemenangan 15-8.
Biarpun diasak hebat pada set kedua oleh kuadran Jepun yang diketuai Wataru Narawa bersama Toshitaka Naito, Yuki Sato dan Ryota Haruhara, skuad negara tetap tenang dalam menyerap tekanan sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan 15-11.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Malaysia mengungguli acara kuadran Piala Asia buat kali pertama, menebus kekecewaan ketika beraksi di Piala Dunia di Bihar, India, pada Mac lalu.
Jurulatih negara, Mohammad Zulkarnain Abdul Rahman menyifatkan kejayaan kali ini sebagai hasil kerja keras dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan barisan pemain sejak hari pertama kejohanan.
“Saya sangat bersyukur dan bangga dengan persembahan mereka. Walaupun masih terasa kekecewaan di Bihar, anak-anak buah saya berjaya bangkit dan membuktikan kemampuan sebenar,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Tambah beliau, kejayaan itu diharap menjadi permulaan kepada pencapaian lebih gemilang menjelang temasya Sukan SEA dan kejohanan-kejohanan antarabangsa yang lain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








