PSM fail dua aduan rasmi kepada ISTAF berhubung kontroversi final Piala Dunia Sepak Takraw
KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) telah mengemukakan dua aduan rasmi kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) berhubung kontroversi membabitkan perlawanan akhir regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, baru-baru ini.
Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, aduan pertama dikemukakan semalam melibatkan tindakan pengurus, jurulatih dan pemain yang didakwa tidak meneruskan perlawanan.
“Manakala aduan kedua yang dihantar hari ini pula membabitkan dakwaan campur tangan pihak kepimpinan Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) ketika insiden kekecohan berlaku di gelanggang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, beberapa pegawai Thailand didakwa memasuki kawasan pemain simpanan ketika perlawanan masih berlangsung, sekali gus mengeruhkan keadaan pada saat kritikal perlawanan.
“Semasa pertikaian dengan keputusan pengadil membabitkan perlawanan regu ketiga, didapati beberapa pegawai tidak berdaftar berada di kawasan pemain simpanan Thailand ketika perlawanan masih dijalankan,” katanya lagi.
Beliau berkata, sebagai badan induk sukan, ISTAF perlu menyemak kelakuan semua pihak terlibat serta mempertimbangkan siasatan dan tindakan disiplin sewajarnya.
“Malaysia sebagai tuan rumah telah melaksanakan pelbagai persiapan termasuk operasi, penajaan, penyiaran serta pengurusan acara bertaraf antarabangsa,” katanya lagi.
Namun, insiden membabitkan tindakan enggan meneruskan permainan itu disifatkan boleh menjejaskan imej serta kepercayaan terhadap sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa pada masa hadapan.
PSM turut menggesa agar isu berkenaan diteliti secara menyeluruh oleh ISTAF bagi memastikan integriti dan ketelusan sukan itu terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








