AMK arah laporan polis serentak terhadap Papagomo
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengarahkan semua kepimpinan serta anggota di seluruh negara membuat laporan polis secara serentak pada Jumaat ini berhubung kenyataan fitnah dan penghinaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tindakan itu diambil susulan kenyataan berunsur maki hamun yang dikeluarkan oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo melalui akaun TikTok @akaun933.
Beliau berkata, laporan polis itu akan dibuat secara serentak di 14 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) utama di setiap negeri bermula jam 3 petang dan akan diselaraskan oleh Ketua AMK Negeri bersama Ketua Biro Mobilisasi Negeri masing-masing.
“Tindakan ini adalah langkah tegas AMK untuk menolak budaya fitnah dan penghinaan terhadap pemimpin negara. Kenyataan Papagomo itu bukan sahaja tidak berasas, malah melampaui batas adab serta undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, antara dakwaan yang dilemparkan oleh Papagomo termasuk menuduh kononnya Anwar ingin menyekat bantuan ke Israel serta menghina beliau dengan gelaran “barua Israel dan Zionis”.
“Lebih biadab lagi, Papagomo turut menabur fitnah dengan menuduh Perdana Menteri sebagai ‘banduan liwat, pesakit HIV dan memakai stoma bag’. Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab dan jelas bertujuan membangkitkan kebencian terhadap Perdana Menteri,” katanya lagi.
Muhammad Kamil berkata, AMK memandang serius perbuatan tersebut dan menyeru pihak berkuasa untuk menyiasat serta mengambil tindakan segera terhadap individu terbabit.
“AMK berdiri teguh mempertahankan maruah dan kredibiliti Perdana Menteri daripada sebarang tohmahan jahat yang boleh menggugat keharmonian masyarakat,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan semua anggota AMK supaya hadir membuat laporan polis dengan berdisiplin dan mengikut saluran undang-undang bagi menunjukkan solidariti terhadap kepimpinan Perdana Menteri serta menolak politik fitnah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








