Thailand perlu profesional, hormat keputusan pengadil – Ahmad Jais
KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun mengakui beliau tidak berpuas hati dengan cara skuad negara muncul juara acara berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026 selepas final menentang Thailand dicemari kontroversi di Stadium Titiwangsa malam semalam.
Menurutnya, beliau lebih gemar melihat kemenangan ditentukan sepenuhnya di dalam gelanggang dan bukannya berakhir dengan tindakan pasukan lawan meninggalkan perlawanan akibat tidak berpuas hati terhadap keputusan pengadil.
“Secara peribadi memang kita tidak berpuas hati dengan kemenangan sebegini. Namun sudah rezeki pasukan negara untuk mencipta kejayaan dalam situasi seperti ini dan kita terima keputusan itu,” memetik BH online.
Kontroversi tercetus ketika regu ketiga berada di penghujung aksi dramatik apabila Thailand mendahului 14-13 sebelum pengadil menghadiahkan mata kepada Malaysia selepas mendapati pemain lawan melakukan kesalahan kerana kaki melepasi garisan bawah jaring ketika melakukan libasan.
Keputusan itu mencetuskan bantahan kem Thailand sebelum mereka enggan meneruskan baki perlawanan walaupun diberikan masa untuk kembali ke gelanggang.
Ahmad Jais berkata, berdasarkan rakaman video, kesalahan dilakukan pemain Thailand jelas berlaku dan keputusan pengadil sewajarnya dihormati semua pihak.
“Kalau kita lihat rakaman video, memang jelas kaki pemain Thailand melepasi bawah jaring.
“Apa yang berlaku adalah keputusan pengadil dan kita perlu menerima dengan hati terbuka apa sahaja keputusan yang sudah dimuktamadkan,” katanya lagi.
Beliau turut berpandangan Thailand sepatutnya meneruskan permainan sehingga tamat meskipun tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
“Pengadil sudah beri masa untuk mereka kembali ke gelanggang, namun mereka memilih untuk tidak meneruskan perlawanan.
“Bagi saya mereka perlu bersikap profesional untuk meneruskan baki beberapa mata lagi,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Ahmad Jais mengakui insiden berkenaan menyebabkan Malaysia tidak dapat menamatkan perlawanan dengan cara lebih memuaskan walaupun akhirnya dinobatkan sebagai juara.
“Sebenarnya peluang masih terbuka dan kalau insiden itu tidak berlaku, pasukan negara tetap perlu menghadapi cabaran besar.
“Belum tentu kita boleh menjadi juara malam itu, tetapi apa yang dilakukan pasukan Thailand akhirnya merugikan mereka sendiri,” katanya lagi.
Beliau bagaimanapun tetap memuji komitmen serta semangat juang dipamerkan pemain negara sepanjang kejohanan sehingga berjaya menghadiahkan dua gelaran buat Malaysia menerusi acara kuadran dan berpasukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













