BERITA SEMASA

Malaysia perlu pacu inovasi, bangunkan produk getah bernilai tinggi

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu terus memacu inovasi dengan membangunkan lebih banyak produk getah khusus dan bernilai tinggi bagi memastikan industri komoditi itu kekal berdaya saing di peringkat global.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, industri getah perlu mempercepat penerimagunaan teknologi digital selain meningkatkan pelaburan dalam pembangunan tenaga kerja berkemahiran.

Menurut beliau, langkah penyesuaian dan penambahbaikan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pembekal global yang dipercayai bagi produk getah inovatif, mampan dan berkualiti tinggi.

“Matlamat kita adalah jelas untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pembekal global yang dipercayai bagi produk getah yang inovatif, mampan dan berkualiti tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kepimpinan dan Jaringan Industri Majlis Getah Malaysia (MRC) di Kuala Lumpur, malam tadi.

Noraini berkata, industri turut perlu memperkukuh rantaian bekalan yang mampan dan berdaya tahan serta memperluas akses pasaran bagi produk getah Malaysia, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Dasar AgriKomoditi Negara (DAKN) 2021-2030.

Beliau berkata, aspek kebolehkesanan, pematuhan piawaian kemampanan dan pengukuhan bekalan getah asli tempatan perlu diberi perhatian bagi memastikan pengeluar mempunyai sumber bahan mentah yang stabil.

Pada masa sama, industri getah perlu meneroka pasaran baharu menerusi usaha perdagangan serta kerjasama lebih erat antara agensi kerajaan dan pemain industri.

“Kita akan berusaha mengatasi halangan perdagangan dan mewujudkan lebih banyak peluang bagi produk getah Malaysia di pasaran sedia ada dan baharu,” katanya.

Noraini turut memberi jaminan bahawa kementeriannya akan terus menyediakan dasar dan peraturan yang menyokong pertumbuhan industri, khususnya dalam usaha memperkukuh bekalan getah asli tempatan.

Terdahulu, beliau menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MRC dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Monash University Malaysia.

Beliau turut menyaksikan pertukaran MoU tiga pihak antara MRC, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Kerjasama berkenaan bertujuan mempercepatkan inovasi, menyokong pengkomersialan teknologi baharu serta membangunkan produk getah yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button