Kebakaran kilang proses getah di Kulai, lima sekolah ditutup setakat ini
KULAI – Jumlah keseluruhan sekolah yang ditutup susulan kebakaran kilang memproses getah di kawasan perindustrian Sengkang di sini sejak kelmarin meningkat kepada lima buah setakat ini.
Terbaharu, tiga lagi sekolah diarahkan menghentikan operasi berkuat kuasa semalam, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai, SK Taman Kota Kulai 2 serta Sekolah Agama Taman Kota Kulai.
Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, Pejabat Pendidikan Daerah Kulai memaklumkan semua murid di sekolah terlibat akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga Jumaat ini sebagai langkah berjaga-jaga.
“Berdasarkan maklumat terkini setakat awal pagi ini, masih terdapat api yang aktif dan pihak bomba sedang giat menjalankan operasi pemadaman,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin memaklumkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang dan SJKC Kulai Besar turut diarahkan tutup, membabitkan 1,531 murid yang perlu menjalani PdPR.
Penutupan berkenaan dibuat susulan keadaan asap tebal dan bau pembakaran yang masih menyelubungi kawasan tersebut, sekali gus berpotensi menjejaskan kesihatan warga sekolah jika sesi persekolahan diteruskan.
Setakat pagi ini, operasi pemadaman melibatkan 34 anggota bomba dilaporkan telah mencapai tahap 90 peratus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








