Dakwa Mkini sebar ajaran sesat: Aziz Bari gesa Abdul Hadi lebih bertanggungjawab
IPOH – Naib Pengerusi DAP Perak Dr Aziz Bari, menyifatkan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa portal Malaysiakini menyebarkan “ajaran sesat” sebagai mengejutkan, mengelirukan dan tidak adil.
Aziz berkata, tuduhan sedemikian merupakan perkara berat dan boleh mengelirukan masyarakat, khususnya dalam konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat majoriti Melayu dan beragama Islam.
Beliau berkata, pengurusan Malaysiakini wajar mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap dakwaan berkenaan kerana masyarakat juga mempunyai kepentingan untuk memastikan isu tersebut tidak berlalu begitu sahaja.
“Media mempunyai peranan penting dalam masyarakat. Sebagai ahli politik dan Ahli Parlimen veteran, beliau sepatutnya sedar serta menghormati peranan media,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, Abdul Hadi sepatutnya menggunakan saluran rasmi seperti Majlis Media Malaysia yang baru ditubuhkan bagi menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap laporan atau kandungan media untuk diteliti oleh badan berkenaan.
Beliau berkata, majlis itu diyakini mempunyai kredibiliti untuk meneliti perkara berkaitan media, khususnya dengan kepimpinannya yang diterajui bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nalini Pathmanathan.
Dalam pada itu, Aziz mengingatkan bahawa Malaysiakini sejak berada di lapangan pada 1999 telah memberi ruang kepada Pas, termasuk ketika negara berada di bawah pentadbiran sebelum 2018.
Malah, katanya, portal berkenaan bersama DAP dan Pakatan Rakyat pernah mempertahankan hak PAS ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1999 berhubung isu penggunaan perkataan “Islam” dalam nama parti itu.
“Walaupun kita menghormati hak Presiden PAS sebagai warganegara, kita juga akur bahawa beliau banyak mengeluarkan pandangan yang rasis dan tidak sesuai dengan masyarakat majmuk negara ini.
“Pandangan-pandangan beliau juga tidak mencerminkan ‘world view’ Islam sebagai ‘rahmatan lil alamin’,” katanya.
Sehubungan itu, Aziz berkata, dengan penuh hormat, Abdul Hadi wajar mempertimbangkan untuk berundur dari ruang awam dan memberi tumpuan kepada kesihatan serta kebajikan dirinya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





