Presiden PAS dakwa unsur penyelewengan, tekanan projek, tuntutan jawatan punca krisis di Perlis
MARANG – Unsur penyelewengan, tekanan meluluskan projek tanpa mematuhi peraturan serta tuntutan jawatan dikenal pasti sebagai punca utama tercetusnya krisis politik di Perlis.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tekanan melibatkan projek-projek berskala besar yang tidak mengikut peraturan telah diletakkan ke atas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, namun pemimpin itu enggan tunduk kepada perbuatan yang disifatkannya sebagai salah.
“Tekanan itu berlaku, tetapi Menteri Besar tidak boleh mengikut perkara yang bercanggah dengan peraturan dan prinsip.
“Bukan beliau yang menzalimi orang lain sebaliknya beliau yang dizalimi, walaupun pentadbirannya diterima rakyat serta dilihat memerintah dengan adil dan berintegriti,” katanya memetik laporan Sinar Online.
Abdul Hadi berkata sedemikian pada sidang media di sini, hari ini.
Krisis politik di Perlis tercetus susulan tindakan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengisytiharkan tidak lagi menyokong kepimpinan Mohd Shukri.
Daripada jumlah itu, tiga ADUN PAS manakala selebihnya daripada BERSATU, yang didakwa telah menandatangani akuan bersumpah (SD) sebelum diserahkan kepada pihak Istana Perlis.
Pada Khamis lalu, Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela dengan alasan faktor kesihatan.
Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, punca lain krisis berkenaan ialah sikap segelintir pihak yang menuntut jawatan, sedangkan dalam PAS dan ajaran Islam, jawatan tidak seharusnya diberikan kepada individu yang memintanya walaupun memiliki kelayakan.
“Jawatan adalah amanah. Dalam Islam, orang yang meminta jawatan tidak boleh diberi. Ini prinsip yang jelas dan kita berpegang dengannya.
“Pengalaman lalu membuktikan perebutan jawatan sering menjadi pencetus perpecahan dan pengkhianatan sekali gus melemahkan kestabilan pentadbiran serta keutuhan parti,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






