Tadbir urus baik, integriti teras perkasa sektor agrikomoditi
PUTRAJAYA – Budaya tadbir urus baik dan integriti perlu menjadi teras dalam kalangan warga Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia (KPK) bagi memastikan sektor agrikomoditi negara terus kekal berdaya saing.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kementerian itu memikul tanggungjawab besar sebagai antara penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus menuntut setiap pegawai dan kakitangan mengamalkan prinsip tadbir urus baik dalam setiap aspek pentadbiran dan pelaksanaan dasar.
Menurutnya, amalan integriti tidak seharusnya sekadar menjadi slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam tindakan harian termasuk dalam pengurusan kewangan, pelaksanaan projek serta penyampaian perkhidmatan kepada pemain industri dan pekebun kecil.
“Kita tidak boleh lagi bekerja secara ‘business as usual’ dalam mendepani cabaran global yang semakin mencabar.
“Tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti tinggi adalah asas kepada keyakinan pelabur serta kelangsungan sektor ini,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Berbuka Puasa kementerian itu di sini hari ini.
Beliau berkata, hubungan antara kepimpinan tertinggi dan warga kerja perlu berteraskan kepercayaan, keterbukaan serta saling menghormati bagi mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan progresif.
Noraini turut berkata, setiap dasar dan inisiatif yang dirangka perlu disertakan dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan boleh diukur bagi memastikan setiap perbelanjaan memberi impak sebenar kepada pembangunan sektor agrikomoditi.
“Hanya melalui tadbir urus yang mantap dan integriti yang utuh, sektor agrikomoditi negara mampu terus berkembang, berdaya tahan serta dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








