300 individu termasuk pemimpin ajaran sesat ditahan di Sabah
KOTA KINABALU – Seramai 300 individu termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama kumpulan Jemaah Ahmadiyah Qadiani ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah dewan sekolah menengah di Likas, di sini hari ini.
Operasi dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penganjuran Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, hasil semakan mendapati program tersebut dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan sejak 2007.
“Program tersebut turut dihadiri kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia serta ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan yang ditahan, 12 individu dikenal pasti sebagai pemimpin dan penganjur utama manakala selebihnya merupakan ahli jemaah.
Katanya, pihak berkuasa turut merampas 24 gegantung yang memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi Jemaah Ahmadiyah Qadiani selain kira-kira 200 buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran tersebut.
“Turut dirampas dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan serta pelbagai dokumen lain yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan terbabit,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.
Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh pihak JHEAINS sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















