BERITA SEMASA

JAIS tetapkan pengosongan Tanah Perkuburan Islam PJS 4 pada 31 Mac

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh akhir pengosongan Tanah Warta Perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya susulan pencerobohan yang mencetuskan perhatian ramai di media sosial baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan, tanah berkenaan adalah Tanah Perkuburan Islam yang telah diwartakan di bawah JAIS mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan bukannya tanah wakaf di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) seperti yang didakwa.

JAIS
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Beliau berkata, tindakan terhadap pencerobohan di kawasan tersebut telah diambil melalui gerak kerja pemutihan bersama pihak pentadbir tanah daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan negeri telah menetapkan tarikh akhir pengosongan tapak sehingga 31 Mac dan kegagalan mematuhi akan menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling bersama JAIS serta agensi penguat kuasa lain,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, JAIS, MAIS dan kerajaan negeri akan terus melaksanakan segala langkah yang perlu bagi memastikan pencerobohan ke atas tanah warta dipulihkan dengan segera, di samping memperkukuh usaha mencegah sebarang pencerobohan pada masa hadapan.

Sehubungan itu, orang awam yang mengesan sebarang pencerobohan melibatkan tanah warta di bawah JAIS atau tanah wakaf MAIS digesa menyalurkan maklumat kepada JAIS, MAIS, PDT atau PBT bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial oleh seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa tanah wakaf di bawah pengurusan MAIS telah diceroboh oleh sebuah rumah ibadat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button