Program eHati: Enam ditahan JAIS, 282 peserta dikenal pasti
KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan enam individu yang disyaki terlibat dalam penganjuran Program Motivasi Rumah Tangga eHati yang diadakan pada 27 hingga 30 September tahun lalu di Shah Alam, Selangor.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kesemua individu terbabit terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita berumur antara 26 hingga 47 tahun ditahan pada 18 Julai lalu di sekitar Shah Alam.
“Semua orang yang disyaki, yang ditahan telah diambil rakaman percakapan bagi membantu siasatan.
“Sehingga kini, JAIS telah dan sedang merakam percakapan 38 orang saksi bagi membantu siasatan.
“JAIS juga telah mengenal pasti lebih kurang 282 orang peserta yang menyertai program tersebut untuk diambil rakaman percakapan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Baca juga : JAIS nafi lulus program eHati, dakwaan penganjur tidak berasas
Beliau berkata, JAIS turut merampas tiga buah buku dan tiga keping cakera padat video (VCD) berkaitan program berkenaan yang kemudian diserahkan kepada Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi mendapatkan ulasan serta pandangan dari sudut hukum syarak.
Tambah Mohd Shahzihan, siasatan dijalankan secara menyeluruh yang melibatkan keseluruhan modul dan kandungan program yang ditawarkan oleh pihak penganjur.
“Kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Seksyen 7 (Doktrin Palsu), Seksyen 8 (Dakwaan Palsu), dan Seksyen 10 (Menghina atau Menyebabkan Dipandang Hina, dll., Agama Islam).
“Selain itu, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 16 (Penerbitan Agama yang Bertentangan dengan Hukum Syarak), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak,” ujarnya.
Menurut beliau, JAIS akan melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor untuk tindakan susulan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








