Pengasas eHATI, suami lari ke luar negara – Polis
SHAH ALAM – Pengasas program eHATI bersama suaminya yang dikehendaki polis kini dipercayai berada di sebuah negara Asia Tenggara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, semakan mendapati kedua-dua mereka melarikan diri menggunakan laluan sah sehari sebelum pertuduhan mahkamah dilaksanakan kepada mereka.
“Mereka tinggalkan negara dipercayai 13 Oktober di mana pertuduhan pada 14 Oktober.
“Kita telah kenal pasti ke negara mana mereka pergi dan PDRM akan berhubung dengan rakan strategik negara itu untuk membantu mengesan penama-penama yang dikeluarkan waran tangkap ke atas mereka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan negara berkenaan kerana dikhuatiri akan menyukarkan lagi pencarian dua individu itu.
“(Mereka di mana), di kawasan Asia Tenggara,” tegasnya.
Laporan media sebelum ini menyebut, dua termasuk pengasas eHATI kini dikehendaki polis selepas waran tangkap dikeluarkan ke atas mereka.
Dua individu itu sepatutnya didakwa pada 14 Oktober lalu bersama pasangan suami yang merupakan doktor kesihatan dan kecantikan serta bertugas sebagai fasilator eHati.
Sebelum ini, polis mendedahkan seramai 95 individu telah dipanggil memberi keterangan berhubung penganjuran program motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 di sini, September tahun lalu.
Siasatan polis turut mendapati berlaku adegan bogel dalam acara Queen’s Night dalam penganjuran itu melibatkan empat individu yang merupakan fasilator program tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







