Polis Selangor buru pengasas program eHati dan suami, dipercayai lari ke luar negara
SHAH ALAM – Polis Selangor masih giat memburu pengasas program motivasi rumah tangga eHati dan suaminya yang dipercayai melarikan diri ke luar negara sejak 13 Oktober lalu, sehari sebelum pertuduhan terhadap mereka dibuat di mahkamah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, usaha pencarian kedua-dua individu berkenaan diteruskan dengan kerjasama pihak berkuasa di negara yang dipercayai mereka berada.
Menurut beliau, polis masih belum mengeluarkan notis merah Interpol kerana mempunyai petunjuk jelas tentang lokasi mereka.
“Setakat ini, kedua-dua individu itu masih lagi belum dijumpai dan usaha pencarian masih diteruskan.
“Kita belum keluarkan notis merah lagi kerana sedang bekerjasama dengan negara berkenaan. Kita tahu mereka di mana dan tidak ke mana pun,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Kempen Anti Buli di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Shazeli mengesahkan bahawa pasangan itu masih berada di negara berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa Polis Selangor sentiasa berkerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam menangani kes ini termasuk melalui mesyuarat berkala dan pertukaran maklumat.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa pasangan suami isteri terbabit berdepan pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 namun gagal hadir ke mahkamah.
Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap pengasas eHati dan kaunselornya berikutan kegagalan hadir untuk prosiding.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








