Pihak berkuasa Rusia keluarkan waran tangkap terhadap pengasas Telegram
MOSCOW – Pihak berkuasa Rusia mengeluarkan waran tangkap terhadap pengasas Telegram, Pavel Durov, atas dakwaan “bersubahat dengan keganasan” kerana membenarkan platform itu digunakan oleh perkhidmatan keselamatan Ukraine untuk merekrut individu.
Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) memaklumkan bahawa ia telah memulakan proses pencarian antarabangsa terhadap Durov yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telegram.
“Notis orang dikehendaki di peringkat antarabangsa telah dikeluarkan terhadap ketua pentadbiran Telegram, P. Durov,” menurut FSB dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jenis notis yang dikeluarkan serta sama ada negara lain atau agensi penguat kuasa antarabangsa akan mengiktiraf atau mematuhinya, lapor AFP.
FSB mendakwa, Telegram digunakan sebagai platform perekrutan oleh perkhidmatan keselamatan Ukraine untuk mempengaruhi rakyat Rusia melakukan perbuatan sabotaj, selain menuduh Durov gagal memadamkan kandungan yang disifatkan sebagai “maklumat terlarang”.
Durov yang dilahirkan di Rusia tetapi kini memegang kewarganegaraan Perancis dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), telah lama tinggal di luar Rusia dan beberapa kali bertelagah dengan pihak berkuasa Moscow berhubung kawalan terhadap internet.
Setakat ini, Durov belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan FSB itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















